
Februari 2026 โ ADTEC JTM Kampus Nibong Tebal telah berjaya melaksanakan Program Perantis TVET MADANI dengan penglibatan pelajar dari SMK Saujana Indah yang memfokuskan kepada pemindahan kemahiran teknikal dalam bidang Teknologi Media Kreatif (Percetakan Ofset). Program ini telah dijalankan pada 24โ25 Januari 2026 dan 7โ8 Februari 2026.
Program ini merupakan satu inisiatif di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) melalui Program Pemerkasaan dan Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang Tahun 2025. Keseluruhan kos pelaksanaan program ini telah ditaja sepenuhnya oleh pihak ICU JPM sebagai usaha melahirkan belia yang berkemahiran tinggi dalam bidang TVET.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar telah mengikuti beberapa modul latihan yang dirangka secara teori dan praktikal. Pada 24 dan 25 Januari 2026, pelajar didedahkan dengan Modul Basic Canva, Photo Editing dan Product Design yang diadakan di Makmal Komputer Bahagian Teknologi Rekabentuk Grafik. Melalui modul ini, pelajar mempelajari penggunaan aplikasi Canva untuk suntingan imej serta teknik mereka bentuk muka hadapan buku bersaiz A5 dan rekaan button badge.
Sementara itu, pada 7 dan 8 Februari 2026, pelajar mengikuti Modul Offset Printing dan Product Finishing yang berlangsung di Ruang Kerja Amali, Bahagian Teknologi Percetakan Industri. Modul ini memberi pendedahan secara praktikal kepada pelajar mengenai proses percetakan litografi ofset, termasuk proses cetakan insert buku A5, penjilidan buku nota A5 serta penghasilan fizikal button badge.
Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah untuk mengenali bidang TVET dengan lebih dekat, malah membantu mereka memperoleh kemahiran asas dalam bidang percetakan dan reka bentuk kreatif.
Pihak institut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan tenaga pengajar yang terlibat iaitu Pn. Nurhayani, Ts. Nor Hasfuat, Pn. Anis Fazila, Pn. Norhayati, En. Mohd Noor, En. Mohd Farid, En. Mohd Firdaus dan En. Mohd Sofian atas komitmen serta dedikasi dalam menyampaikan ilmu sepanjang program berlangsung.
Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada semua perantis dari SMK Saujana Indah atas semangat dan komitmen yang ditunjukkan. Diharapkan kemahiran yang diperoleh melalui program ini dapat menjadi pemangkin kepada masa depan yang lebih cemerlang dalam bidang TVET.









