
Lawatan kerja tersebut melibatkan delegasi utama syarikat termasuk Tony Foo Mun Choong, Leong Sheong Lok dan Lin Wai Hoong.
Melalui Unit Corporate & Employment Support Service (CESS), beberapa agenda strategik bagi pelaksanaan tahun 2026 telah dipersetujui, antaranya projek naik taraf dua unit rumah tamu kampus sebagai penginapan pekerja syarikat yang mengikuti latihan di ADTEC, termasuk sumbangan peralatan asas oleh pihak industri.
Turut dipersetujui ialah pelaksanaan Program Akademi Dalam Industri (ADi) melibatkan 32 peserta bagi mendapatkan pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui pengalaman kerja sebenar di industri.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem latihan, pihak syarikat juga bersetuju menyalurkan sumbangan peralatan latihan daripada Aik Joo Can Factory Sdn Bhd bagi meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar. Susulan itu, pasukan teknikal ADTEC JTM Kampus Nibong Tebal akan mengadakan lawatan penilaian aset ke kilang berkenaan.
Kolaborasi ini turut merangkumi pembangunan Skills Matrix dan pelaksanaan Program CUDBAS bagi mengenal pasti jurang kemahiran serta meningkatkan kompetensi pekerja mahir industri, selain projek perabot promosi berasaskan corrugated board melalui sesi sangkutan industri melibatkan pengajar Jabatan Mekanikal dan Pengeluaran di cawangan syarikat di Senai.
Delegasi turut dibawa melawat Bengkel Teknologi Percetakan Industri yang merupakan Center of Skills Excellence (CoSE) bagi meninjau fasiliti serta kualiti latihan yang disediakan di kampus ini.
Kerjasama strategik ini dijangka terus memperkukuh hubungan institusi dan industri, sekali gus menyumbang kepada penghasilan graduan berkemahiran tinggi serta memenuhi keperluan tenaga kerja berdaya saing negara.









