
12 April 2026 โ ADTEC JTM Kampus Nibong Tebal terus komited dalam melahirkan pelajar holistik apabila menganjurkan Kursus Asas Angkatan Pertahanan Awam sebagai salah satu modul kokurikulum yang berlangsung selama dua hari bermula 11 hingga 12 April lalu.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia melalui cawangan Daerah Seberang Perai Selatan, bertujuan melengkapkan pelajar dengan pengetahuan serta kemahiran asas menyelamat dan kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi kecemasan atau bencana.
Sepanjang kursus, para pelajar didedahkan kepada pelbagai modul penting termasuk kawad kaki, pertolongan cemas, teknik melawan kebakaran, ikatan dan simpulan serta pengurusan bencana. Pendedahan ini memberi nilai tambah kepada pelajar dalam membina disiplin diri dan keupayaan bertindak secara pantas dalam situasi kritikal.
Pelaksanaan kursus merangkumi sesi teori dan amali, di mana peserta diberikan penerangan berkaitan akta serta prosedur operasi standard (SOP) sebelum menjalani latihan praktikal. Sesi amali pula dijalankan di kawasan lapang sekitar kampus melibatkan simulasi menyelamat dan latihan fizikal bagi menguji tahap kesiapsiagaan pelajar.
Pihak penganjur berharap agar ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui kursus ini dapat dimanfaatkan sepanjang hayat, sekali gus menyumbang kepada keselamatan diri, masyarakat serta negara.









