Lawatan Mesra YB Puan Fadhlina Sidek

lawatanyb

02 Disember 2022 : Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai Nibong Tebal amat bertuah kerana telah menerima kunjungan mesra dari YB Puan Fadhlina Sidek, Ahli Parlimen Nibong Tebal. 

Lawatan yang serba ringkas namun penuh bermakna ini bermula jam 10:00 pagi iaitu pembentangan tentang latar belakang ILP APNT dan penerangan berkenaan fungsi serta objektif institut latihan kemahiran ini. Pembentangan dan penerangan telah diberi oleh Tuan Pengarah ILP APNT, Encik Adnan bin Ismail.

Antara agenda lain semasa sesi perbincangan adalah berkisar tentang hala tuju latihan kemahiran TVET negara ini dan sumbangan ILP APNT dalam melahirkan tenaga kerja mahir negara. YB Puan Fadhlina Sidek juga bersetuju bahawa latihan kemahiran TVET ini adalah wajar diperkasakan di kalangan belia yang mana mempunyai peluang yang amat cerah dalam bidang pekerjaan.

Seterusnya YB Puan Fadhlina Sidek telah diiringi ke bengkel latihan bagi melihat sendiri fasiliti dan peralatan kemahiran di institut ini. Selain itu, YB juga sempat berbual, bertegur sapa dengan kakitangan ILP APNT dan para pelajar yang ada pada ketika lawatan ini.

Pihak pengurusan Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai amat berbesar hati dan berterima kasih kepada YB Puan Fadhlina Sidek kerana sudi menjengah seketika dan berkunjung mesra walau dalam kesibukan menjalani tugas sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal yang baru. 

Semoga hubungan di antara institut ini dengan YB Puan Fadhlina Sidek, Ahli Parlimen Nibong Tebal dapat diteruskan dengan lebih erat lagi di masa hadapan.