
12โ13 SEPTEMBER 2026 โ ADTEC JTM Kampus Nibong Tebal telah menganjurkan Kursus Asas Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sesi 2/2026 selama dua hari bertempat di Dewan Sukan ADTEC JTM Kampus Nibong Tebal dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Seberang Perai Selatan.
Program ini melibatkan pelajar Semester 1 sebagai salah satu aktiviti kokurikulum yang bertujuan memberikan pendedahan asas berkaitan pertahanan awam, keselamatan dan kesiapsiagaan diri dalam menghadapi situasi kecemasan.
Sepanjang kursus berlangsung, para pelajar telah mengikuti pelbagai pengisian latihan, antaranya taklimat arahan pertahanan awam, asas kawad kaki, asas ikatan dan simpulan, asas pertolongan cemas, bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR), bantuan awal bagi mangsa tercekik (choking) serta asas memadam kebakaran.
Pelaksanaan latihan ini memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran asas yang penting dalam menghadapi situasi kecemasan, di samping memahami kepentingan tindakan awal yang betul bagi membantu menyelamatkan nyawa dan menjaga keselamatan diri serta orang lain.
Penyertaan dalam kursus ini diwajibkan kepada pelajar Semester 1 kerana merupakan salah satu keperluan bagi memenuhi jam kredit modul kokurikulum berdasarkan silibus latihan kemahiran yang ditetapkan.
Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen ADTEC JTM Kampus Nibong Tebal dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja kompeten dalam bidang kemahiran teknikal, malah mempunyai tahap disiplin, tanggungjawab dan kesedaran keselamatan yang tinggi.
Diharapkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui kursus ini dapat dimanfaatkan oleh para pelajar dalam kehidupan seharian, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan serta memupuk semangat kerjasama dan keprihatinan terhadap keselamatan komuniti.






