
17 Ogos 2026 (Isnin) โ ADTEC JTM Kampus Nibong Tebal telah mengadakan Mesyuarat Kolaborasi Industri bersama delegasi daripada Mutiara Biru Ehsan Sdn. Bhd. (MBE) bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam bidang latihan dan pembangunan kemahiran.
Mutiara Biru Ehsan Sdn. Bhd. (MBE) merupakan sebuah syarikat latihan korporat yang ditubuhkan pada tahun 2009 dan berdaftar dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) sebagai penyedia latihan. MBE turut mempunyai hubungan kerjasama strategik dengan Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI) Pulau Pinang.
Pertemuan ini bertujuan membincangkan hasrat pihak MBE untuk menjalin kerjasama strategik bersama ADTEC JTM Kampus Nibong Tebal bagi melaksanakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat yang memberi tumpuan kepada pembangunan kompetensi pekerja industri, khususnya dalam sektor swasta.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah penawaran Kursus Sijil Eksekutif dan Sijil Kerjaya, di samping cadangan penganugerahan sijil kepada peserta yang mengikuti program dan kursus jangka pendek yang bakal dilaksanakan melalui kerjasama tersebut.
Kerjasama ini dilihat berpotensi membuka ruang yang lebih luas kepada golongan pekerja industri untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta kompetensi selaras dengan keperluan dan perkembangan semasa dunia pekerjaan.
Pihak ADTEC JTM Kampus Nibong Tebal menyambut baik usaha dan inisiatif yang dikemukakan oleh pihak MBE serta berharap agar perbincangan strategik ini dapat direalisasikan melalui jalinan kerjasama yang kukuh dan berterusan.
Kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan pihak industri seumpama ini diyakini dapat menyumbang kepada usaha memperkasa kemahiran modal insan negara, meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja serta memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
Semoga kolaborasi yang dirancang ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang latihan dan pembangunan kemahiran yang memberi manfaat kepada industri, pekerja serta masyarakat.






